Memang Lumayan

dagang Pak Malau dagang bertempat, dagang me musafir lalu ..

Al-fatihah: Hud Mohamad


Me terkejut tadi bila dapat tahu yg bekas kawan sekerja meninggal dunia sebab kemalangan jalanraya pada hari Rabu minggu lepas…

Me buat satu laman web sebagai kenangan… al-fatihah untuk saudara Hud Mohamad

Hasrat pemandu lori tak sampai
Oleh Ibrahim Isaibrahim@hmetro.com.my
MASAI: Hasrat seorang pemandu lori pasir tempatan yang bekerja di Singapura mencari kerja di negara ini tidak kesampaian, apabila terbabit dalam kemalangan maut di persimpangan di Kilometer 25, Jalan Masai Lama, berhampiran Taman Megah Ria, di sini, kira-kira jam 7 pagi semalam.
Hud Mohamad, 42, dikatakan ingin bekerja di negara ini selepas lebih lima tahun menjadi pemandu lori pasir di negara jiran itu.
Jirannya, Nurhaniza Zainal Abidin, 34, berkata Allahyarham pernah memberitahu suaminya (Sallehuddin Ahmad, 37), dia ingin bekerja di Malaysia kerana tidak tahan lagi bekerja di Singapura.
Ini kerana, katanya, Allahyarham mengadu letih apabila terpaksa keluar awal pagi dan pulang lewat malam setiap hari dan ingin kerja di Malaysia untuk meluangkan lebih masa bersama keluarga.
“Tetapi apakan daya hasratnya untuk bekerja di sini dan meluangkan lebih banyak masa bersama keluarga tidak kesampaian selepas dia meninggal dunia akibat kemalangan pagi tadi (semalam).
“Sebelum ini, kami tidak nampak sebarang perubahan kecuali pada kira-kira jam 6.30 pagi tadi (semalam) ketika ingin ke tempat kerja, Allahyarham tidak menegur suami saya sedangkan Allahyarham biasanya seorang yang peramah,” katanya.
Anak sulung mangsa, Muhd Sayyid Haziq, 16, berkata Allahyarham tidak banyak berubah sejak kebelakangan ini, termasuk membawa mereka sekeluarga berehat di Bukit Layang-Layang, Pasir Gudang, di sini, sempena cuti Tahun Baru Cina dan Maal Hijrah.
Katanya, Allahyarham hanya berpesan kepadanya sebagai anak sulung supaya belajar bersungguh-sungguh dan membantu keluarga, terutama ibu dan persekolahan adik-beradik.“Tiada sebarang perubahan pada Allahyarham kerana dia sememangnya seorang peramah.
Cuma Allahyarham ada berpesan supaya menjaga keluarga,” katanya.Allahyarham meninggalkan enam anak dan seorang isteri yang juga suri rumah, Saniah Atan, 40.Sementara itu, Ketua Polis Trafik Johor Bahru Selatan, Deputi Superintenden Mohamad Ismail, berkata dalam kejadian kira-kira jam 7 pagi itu, motosikal mangsa bertembung dengan sebuah kenderaan dipercayai van di sebuah persimpangan berhampiran Taman Megah Ria.
“Siasatan awal mendapati, pemandu van itu tidak memberhentikan kenderaan ketika berada di persimpangan itu dan terus keluar menuju Pasir Gudang iaitu arah bertentangan dengan mangsa.
“Mangsa yang dalam perjalanan ke Singapura dipercayai tidak sempat memberhentikan motosikalnya sebelum bertembung dengan van berkenaan,” katanya.
Menurutnya, mangsa yang cedera parah di kepala dan badan meninggal dunia di tempat kejadian dan mayatnya dihantar ke Hospital Sultanah Aminah (HSA) untuk bedah siasat.
Katanya, sehingga kini pemandu van berkenaan tidak membuat laporan polis dan pihaknya menyiasat kes berkenaan mengikut Seksyen 41 (1) Kanun Keseksaan kerana langgar lari.
Jenazah Allahyarham dituntut keluarganya dan akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Kampung Parit Besar, Batu Pahat.
Sehubungan itu, saksi kejadian itu diminta membuat laporan di balai berhampiran bagi membantu siasatan.

Written by en_me

Thu 2 Feb 06 at 5:25 pm

Posted in friends, nostalgia

%d bloggers like this: